KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bersedia untuk membantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Jefri Mejan daripada Perikatan Nasional mendapatkan peti ais terpakai untuk pusat khidmatnya.
Beliau yang juga ADUN Rengit berkata, pusat khidmatnya menggunakan peti ais terpakai yang dibeli daripada kedai milik Orang Asli di Rengit.
“Dijamin baik. Boleh PM saya. Penghantaran percuma,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Baru-baru ini, tular dalam media sosial poster yang menyatakan Jefri memohon sumbangan peralatan seperti komputer, mesin cetak, perabot, peti ais, papan putih dan internet untuk Pusat Khidmat ADUN Ijok.
Walau bagaimanapun, poster tersebut ditarik balik dari laman Facebook rasmi wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu kelmarin.
Mohd Puad memberitahu, tidak menjadi kesalahan bagi Jefri meminta sumbangan untuk membeli peralatan pejabat di pusat khidmatnya.
Namun, katanya, Jefri sepatutnya memohon secara peribadi kepada para dermanan dan bukannya membuat iklan meminta ihsan rakyat.
“Tidak cantik bah. Tidak wajar juga minta dana infak untuk beli papan tanda, papan putih, internet, peti ais dan komputer.
“Biasanya pelajar miskin minta komputer riba daripada wakil rakyat,” jelasnya. – MalaysiaGazette