KUANTAN – Setiap rumah disyorkan memiliki sekurang-kurangnya satu unit alat pemadam api (APA) bagi membolehkan tindakan awal diambil sekiranya berlaku kebakaran di rumah masing-masing.
Pengarah Eksekutif Fire Fighter Solution, Muhammad Nur Zharif Zamree berkata, masyarakat perlu mempunyai kesedaran memiliki APA supaya tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurutnya, saiz APA yang sesuai untuk kereta adalah satu kilogram (kg) manakala 3kg untuk rumah membabitkan tempoh masa penggunaan sehingga 10 tahun.
“Saiz ini sudah mencukupi kerana selalunya kita sudah nampak api ketika ia belum marak. Selepas digunakan, ia boleh dihantar untuk servis dan isian semula.
“Produk yang dibekalkan ini diluluskan SIRIM Berhad (SIRIM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), tiada toksik dan lebih penting mesra alam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Muhammad Nur Zharif berkata, orang ramai perlu melihat kepentingan memiliki APA dalam kereta dan rumah sebagai mana alat keselamatan lain yang dipasang seperti kamera litar tertutup (CCTV), alat penggera dan jerigi besi.
“Apabila ditanya kenapa pasang CCTV, sistem penggera, jerigi besi? Jawapannya untuk keselamatan namun bila ditanya pemadam api? Tiada kerana tiada kesedaran memilikinya,” terangnya.
Masyarakat harus lebih peka dan celik cara pencegahan kebakaran dengan tidak hanya menantikan pihak bomba jika berhadapan dengan insiden kecelakaan api.
“Masyarakat hari ini bila sebut kebakaran yang mereka tahu hanya bomba, hanya bergantung kepada bomba. Bila tunggu bomba, ia pasti mengambil masa dan mungkin tidak dapat menyelamatkan harta benda dari kebakaran yang pada awalnya hanya kecil sebelum ia marak.
“Tanggungjawab menjaga nyawa dan harta benda bukan sahaja terletak pada anggota keselamatan malah diri kita sendiri. Kita tak boleh salahkan bomba jika bomba lambat, tidak boleh salahkan tekanan air rendah. Tanya juga apa kita lakukan untuk mencegah kebakaran,” katanya.
Menurutnya, sesiapa sahaja boleh menggunakan APA untuk memadamkan api termasuk anak berusia lima tahun jika diajar bagi menyelamatkan harta benda.
Beliau berkata, pembekal perkhidmatan produk APA, Fire Fighter Solution mengadakan program membabitkan pelbagai peringkat umur masyarakat bagi memaklumkan kepentingan penggunaan APA di rumah dan kereta serta cara penggunannya.
Selain khidmat nasihat, syarikat itu turut menjual produk APA membabitkan harga RM96 (kereta) dan RM150 (rumah).
Orang ramai yang berminat mengetahui berkaitan APA boleh menghubungi 014-999 9117 bagi maklumat lanjut. – MalaysiaGazette