Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (PjM) Udara Siri 66/2023 di Akademi Tentera Udara (ATU), Ipoh hari ini.

IPOH – Siasatan berhubung kes buli lima pelatih Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan kini pada peringkat akhir.

Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata individu yang didakwa terlibat dalam kes memukul pelatih berkenaan akan dipanggil semula untuk disoal siasat pihak polis.

“Jadi kita tunggu siasatan daripada polis dan tindakan akan diambil dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (PjM) Udara Siri 66/2023 di Akademi Tentera Udara (ATU) di sini hari ini.

Beliau menegaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara am dan TUDM khususnya tidak berkompromi dengan kes buli melibatkan anggota dan pegawainya.

“Berdasarkan peraturan sedia ada dan undang-undang ATM, sesiapa yang melakukan pembulian akan diambil tindakan tegas termasuk pemberhentian tetapi semuanya bergantung kepada hasil siasatan yang dilaksanakan.

“Kita perlu melaksanakan siasatan terperinci sebelum apa-apa tindakan diambil,” katanya sambil menambah semua mereka yang disyaki terlibat dalam kes itu telah ditempatkan kembali di unit masing-masing.

Pada 9 Mei lepas, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata pihaknya merekodkan lebih 10 keterangan dalam siasatan berhubung kes itu termasuk lima pelatih yang mendakwa menjadi mangsa, selain enam pelatih yang didakwa melakukan perbuatan tersebut.

Sebelum ini, Ramli mengesahkan pihaknya menerima laporan empat lagi pelatih mendakwa turut menjadi mangsa buli di pangkalan udara itu selepas seorang bapa membuat laporan polis mendakwa anaknya dibuli di situ.

Media melaporkan lima pelatih kursus TUDM dipukul anggota senior ketika menjalani latihan di Pangkalan Udara Kuantan dan kejadian terbongkar selepas keluarga seorang daripada mangsa tampil membuat laporan polis sebelum ditularkan di Twitter.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast