Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap ketika hadir ke Mesyuarat Agong Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 02 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan beliau secara peribadi pernah diarah agar membayar cukai pendapatan sebanyak RM13 juta semasa Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan.

Beliau mendakwa arahan pembayaran tersebut dikenakan kerana Guan Eng sangat membenci UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika itu.

“Saya sendiri secara peribadi dikenakan income tax (cukai pendapatan) sebanyak RM13 juta padahal saya telah membayar potongan setiap bulan kerana ketika itu menteri  (Kewangan) dalam kerajaan PH 1.0 sangat benci kepada UMNO, sangat benci kepada BN.

“Saya tidak pernah berkongsi perkara ini sebelum ini,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Menerusi ucapannya, Ahmad Zahid yakin BN akan kembali menjadi parti dominan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

“PRU16 nanti kita akan jadi dominan semula dalam pentas politk tanah air.

“Saya nampak cahaya yang sangat cerah di hujung terowong politik negara, teruskan berjalan sampai ke hujung terowong, kita sedang menghadapi ujian…jadi, jangan mengalah dengan ujian ini,” tegasnya.

Katanya, UMNO dan BN akan kembali menerajui kerajaan sebagai perdana menteri apabila parti itu kembali menguasai jumlah kerusi berbanding gabungan parti lain termasuk Parikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

“Ramai tanya sampai bila UMNO-BN nak jadi TPM, jawapan saya bila kita dapat kerusi lebih daripada gabungan lain,” katanya. – MalaysiaGazette