ALOR GAJAH – Seorang warga emas ditemukan lemas, selepas hilang dibawa arus semasa cuba menyelamatkan dua rakannya yang hampir lemas di Pantai Cermin, Kuala Sungai Baru di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata, mayat Haudi Sujai, 63, ditemukan kira-kira pukul 3 petang tadi, terapung tidak jauh dari lokasi dia dikatakan hilang.
Beliau berkata, kejadian bermula sekitar pukul 11 pagi semasa Haudi bersama dua rakannya sedang memancing sekitar Pantai Pulau Masjid apabila air mulai pasang, dan dua rakannya itu hampir lemas apabila dibawa arus deras.
“Warga emas itu dipercayai cuba membantu (rakan), namun arus air yang kuat menyebabkan lelaki itu terus dihanyutkan, manakala dua rakannya berjaya diselamatkan orang kampung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Arshad berkata Haudi bersama tujuh lagi rakannya dari Balakong, Selangor datang ke Pantai Cermin sejak pukul 10 pagi semalam untuk memancing di kawasan berkenaan.
“Warga emas itu dibawa ke pantai dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan sebelum dirujuk ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat,” katanya. – BERNAMA