KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal dan bayi lelaki berusia 45 hari maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara), dekat Muar.
Ketua Polis Daerah Muar, Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal Honda berwarna kelabu terbabas lalu terjatuh di atas jalan raya.
Kejadian itu menyebabkan seorang lagi penunggang motorsikal berwarna biru yang berada di belakangnya cuba mengelak ke tepi namun hilang kawalan lalu terjatuh di sebelah kanan jalan.
Pada masa itu datang sebuah kereta yang berada di arah sama tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa yang terbaring di atas jalan raya sebelum hilang kawalan dan terbabas ke tepi sebelah kiri jalan.
“Akibat kemalangan itu penunggang motosikal warna kelabu berusia 20 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
“Manakala seorang bayi lelaki yang berada dalam kereta meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital kerana cedera parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Raiz berkata, seramai lima orang mangsa berada di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar untuk rawatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang melihat kejadian ini diminta membantu siasatan polis. – MalaysiaGazette