Perbicaraan kes tuntutan writ saman silvil melibatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa tidak dibayar gaji selama sembilan tahun tiga bulan oleh majikannya berlangsung dua hari di Mahkamah Sesyen Kota Bharu. Foto: Habsah Ismail.

KOTA BHARU – Seorang bekas pembantu rumah warga Indonesia telah menyaman bekas majikannya yang didakwa tidak membayar gaji selama sembilan tahun tiga bulan berjumlah kira-kira RM195,000.

Derfi Bisilisin, 36, memfailkan saman itu terhadap Koe Boon Aik, 48, di Mahkamah Sesyen di sini.

Pada perbicaraan yang bermula hari ini, Derfi berkata, dia melakukan tugas hakikinya sebagai pembantu rumah seperti membasuh pinggan dan memasak selain terpaksa bekerja di kedai aksesori kenderaan pada waktu petang walaupun perkara itu tidak termaktub dalam perjanjian kontrak pekerjaan.

Derfi berkata, dia berhak menuntut gaji bagi kedua-dua pekerjaan yang dilakukan selain ganti rugi am dan teladan berjumlah RM50,000 atas layanan buruk yang diterima daripada Koe dan ahli keluarga bekas majikannya itu.

“Saya juga disuruh tidur di atas lantai di ruang tamu rumah dan diberi makan hanya sehari sekali iaitu pada waktu malam selain tidak dibayar gaji sepanjang tempoh perkhidmatan bermula 23 Julai 2011 hinggalah saya melarikan diri pada 29 Oktober 2020.

“Mengikut perjanjian, perkhidmatan saya sebagai pembantu rumah bermula dengan gaji RM600 sebulan dan kenaikan RM50 setiap tahun hingga mencapai gaji maksimum RM1,100 tetapi tidak pernah dibayar termasuk upah sebagai pekerja kedai aksesori,” kata wanita itu yang berasal dari Kupang, Nusa Tenggara Timur.

Defri berkata demikian sambil menangis di kandang saksi semasa memberi keterangan dan dia diwakili peguam Alias Ibrahim manakala defendan diwakili peguam Tara Singh Delip Singh.

Pada November 2021, Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur melantik peguam bagi mewakili plaintif untuk membuat dua tuntutan iaitu gaji sebagai pembantu rumah berjumlah RM93,000 dan gaji sebagai pembantu kedai aksesori kereta sebanyak RM109,000.

Sebelum ini, majikan Defri dihukum penjara tujuh tahun dan isterinya tiga tahun serta didenda RM30,000 pada Januari 2023 selepas didapati bersalah mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli, yang berlangsung selama dua hari, bersambung esok. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast