GEORGE TOWN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan tiga hari bermula 14 Februari tahun depan untuk perbicaraan kes saman fitnah usahawan kosmetik, Rozita Baharom terhadap pempengaruh media sosial, Muhammad Iddin Syah Mohd Fuzi.
Hakim, P. Anand menetapkan 14 hingga 16 Februari 2024 untuk perbicaraan manakala pengurusan kes seterusnya pada 1 Disember ini.
Selain itu, Anand turut memerintahkan kedua-dua pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes berkenaan di mana-mana platform media sosial.
Hakim juga menegaskan perintah injunksi itu perlu dipatuhi kedua-dua pihak dengan serta merta.
Terdahulu, peguam Rafique Rashid dan Akif Rusli yang mewakili Muhammad Iddin Syah memfailkan pernyataan pembelaan terhadap saman fitnah yang difailkan Rozita atau lebih dikenali sebagai Cheta PotPet di mahkamah.
Sementara itu, Muhammad Iddin Syah ketika ditemui menyerahkan kepada peguamnya untuk mengendalikan saman fitnah yang dikemukan Cheta PotPet terhadapnya.
“Selepas arahan injunksi saya letak sepenuhnya kepada peguam serta mahkamah untuk selesaikan isu ini,” katanya ringkas.
Pada 21 Ogos lalu, ahli perniagaan kosmetik dikenali sebagai Cheta PotPet memfailkan saman fitnah sebanyak RM16 juta terhadap usahawan yang juga pempengaruh, Muhammad Iddin Syah di Mahkamah Tinggi di sini.
Cheta PotPet atau nama sebenar Rozita Baharom, 36, turut mengemukakan permohonan injuksi supaya usahawan berkenaan berhenti memuat naik kenyataan serta memadam hantaran termasuk video yang didakwa berunsur fitnah terhadap dirinya sejak Julai lalu.
Peguam, K. Mahendran yang mewakili Rozita berkata, dalam tuntutan itu anak guamnya menuntut permohonan maaf daripada Iddin secara terbuka di platform media sosial termasuk akaun TikTok dan Instagram miliknya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: