Wanita UMNO Titiwangsa kanak-kanak
Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membebas tanpa melepaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi kelegaan kepada UMNO.

Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, keputusan tersebut merupakan khabar gembira kepada seluruh ahli.

Keputusan tersebut juga memberi lonjakan semangat kepada ahli UMNO untuk terus berusaha mengembalikan sokongan rakyat kepada parti dan Barisan Nasional.

“Wanita UMNO Malaysia mengucapkan kesyukuran di atas keputusan yang telah dibuat oleh Peguam Negara untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Alhamdulillah, ketabahan dan kesabaran Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan keluarga mengharungi waktu-waktu sukar dalam tempoh beberapa tahun ini telah berakhir dengan keputusan ini,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Noraini, Wanita UMNO Malaysia akan terus menumpukan segala tenaga untuk membantu kemenangan Kerajaan Perpaduan di dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Pulai dan Simpang Jeram.

Wanita UMNO juga akan memastikan kemenangan berpihak kepada Kerajaan Perpaduan dalam PRK Pelangai yang akan diadakan tidak berapa lama lagi.

Selepas 77 hari dibicarakan Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid, 70, menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan agar pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Surat representasi pertama dikemukakan pada Januari manakala kedua, dihantar kepada AGC dengan fakta dan bukti baharu, pada Februari.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi. – MalaysiaGazette