Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang disyaki mencederakan jirannya dengan menggunakan pisau di Kampung Kuala Garing Selatan, Rawang, dekat sini, pada Jumaat lalu ditahan polis, semalam.

Suspek dipercayai berada dalam keadaan masuk semasa kejadian berang apabila ditegur mangsa kerana membuat bising.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya yang menerima laporan mengenai insiden itu pada jam 7.29 malam Jumaat mengerahkan sepasukan anggota polis ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal polis di lokasi mendapati pengadu merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 23 tahun semasa berada di Jalan Kuala Garing, telah terima panggilan daripada kakaknya perempuan warga tempatan berumur 43 tahun yang mengadu jirannya seorang warga tempatan di sebelah rumah membuat bising di alamat Kampung Kuala Garing Selatan.

“Pengadu telah sampai di alamat berkenaan dan berlaku pertengkaran sebelum suspek didapati telah mengambil sebilah pisau dan telah menyerang pengadu sehingga terkena jari tangan kiri dan kanan pengadu,” katanya dalam kenyataan, hari ini

Tambah beliau, akibat daripada serangan suspek itu, pengadu mengalami kecederaan luka di bahagian jari tangan kiri dan kanan dan beliau telah mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.

Menurut Noor Ariffin, bertindak atas laporan mangsa, polis telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki di rumahnya di kampung yang sama kira-kira jam 2.30 petang, semalam.

Katanya, pemeriksaan ke atas suspek membawa kepada rampasan senjata tajam yang diubahsuai yang disyaki digunakan suspek untuk melakukan perbuatan jenayah itu.

“Siasatan lanjut polis mengenai punca kejadian mendapati, suspek semasa kejadian itu berada di bawah pengaruh alkohol dan membuat bising dengan bercakap kuat sebelum mengeluarkan kata-kata kesat.

“Suspek kemudian dipercayai bertengkar dengan kakak pengadu (jiran) kerana berang ditegur kerana membuat bising,” ujarnya.

Noor Ariffin berkata, suspek kini direman dan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

.Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mejar Ahmad Fatrah Amirul di talian 013-3122600 atau 03- 61262222. – MalaysiaGazette