Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan para penyokong pada Ceramah Mega Perpaduan Madani sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.161 Pulai di Taman Uda, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 03 SEPTEMBER 2023.

JOHOR BAHRU – Datuk Seri Anwar Ibrahim menemplak  Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang didakwa masih tidak boleh terima hakikat bahawa dirinya bukan lagi perdana menteri.

Ia kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sekutu-sekutu didakwa berkempen secara melulu sehingga sanggup mengeluarkan ‘fatwa’ sendiri mengharamkan pengundi memilih calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, tindakan berkenaan bukan sahaja keterlaluan malah perlu dihentikan.

Dakwa beliau, pembangkang semakin tiada adap hingga mencetuskan kata-kata nista dalam ceramah mereka.

“Saya nak tanya yang sibuk-sibut takut Suhaizan menang sebab apa? Kita buat apa? Guna kuasa cari duit ke?.

“Sebut undi orang ini haram, ini apa? Kamu ini siapa?,” soal Anwar.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Madani, di Taman Uda Utama, pada malam tadi.

Hadir sama, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat.

Anwar mendakwa Muhyiddin seakan-akan hilang modal apabila sering menimbulkan isu yang sama.

Baru-baru ini Muhyiddin Yassin mengeluarkan ‘fatwa’ mengharamkan pengundi yang mengundi calon PH, Suhaizan Kayat, pada PRK Parlimen Pulai.

Muhyiddin berkata, tindakan tidak mengundi Suhaizan itu perlu bagi menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan Kerajaan Perpaduan tidak menunaikan janjinya kepada rakyat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast