Hussein Omar Khan . Foto MOHD ADZLAN, 25 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Polis selesai melakukan siasatan yang membabitkan seorang bekas pemimpin politik yang didakwa mendera pembantu rumah warga asing.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagaimanapun pihaknya menerima beberapa arahan yang perlu diambil tindakan susulan bagi melengkapkan kertas siasatan untuk mendapatkan arahan pertuduhan ke atas suspek.

Beliau berkata, pada jam 4.16 petang 22 Ogos lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya menerima satu laporan polis daripada seorang wanita warga asing berusia 54 tahun yang merupakan pembantu rumah wanita yang mendakwa telah dicederakan oleh majikannya yang juga seorang ahli perniagaan.

Tambah beliau, berikutan itu satu kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, difahamkan suspek telah dipanggil polis dan dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, sumber memberitahu, mangsa didakwa bukan saja dipukul dan ditendang, malah turut disimbah air panas, dibaling pasu oleh majikannya.

Selain itu, mangsa juga difahamkan tidak dibayar gaji selepas bekerja di rumah suspek sejak lima tahun lalu.

Bagaimanapun, menurut sumber, lelaki tersebut menafikan dakwaan pembantu rumah itu dan turut menyerahkan rakaman video pergaduhan antara wanita itu dengan pembantu rumah yang lain.

Katanya, polis kini sedang menunggu laporan perubatan mangsa dari hospital untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast