KUALA LUMPUR – Masalah kerosakan jalan raya merupakan perkara yang diluahkan oleh rakyat Sabah secara langsung kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam rakaman video yang tular melalui TikTok, kedengaran seorang wanita menyuarakan isu tersebut ketika Seri Paduka yang berada dalam sebuah kenderaan mencemar duli bersalaman dengan rakyat.
“Teruk sangat, teruk sangat jalan raya kami, banjir Tuanku,” kata wanita itu.
Semalam, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di Tawau, Sabah untuk memulakan pengembaraan yang julung kali diadakan bagi mendekati rakyat di negeri itu dan Sarawak.
Menurut laman Facebook rasmi Istana Negara, semasa keberangkatan dari Lapangan Terbang Tawau ke hotel, Seri Paduka memandu sendiri kereta dengan ditemani Raja Permaisuri Agong.
Seri Paduka berdua berulang kali meluangkan masa dengan berhenti dan turun kenderaan untuk bersalaman dan bergambar dengan penduduk yang menanti di tepi jalan raya.
“Sambutan luar biasa turut kelihatan dengan beberapa penduduk setempat mengibarkan bendera Malaysia dan Sabah dengan sorakan Daulat Tuanku sebagai simbolik menyambut keberangkatan tiba Seri Paduka berdua.
“Ada juga beberapa penduduk setempat meminta perarakan kereta Seri Paduka berdua untuk berhenti atau memperlahankan konvoi ketika melalui jalan raya berdekatan kawasan mereka bagi mendapat peluang bertemu dan bersalaman dengan Seri Paduka berdua,” katanya.
Hari ini, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah berangkat memulakan perjalanan Kembara Kenali Borneo dari Bulatan 0 KM, Padang Perbandaran Tawau.
Seri Paduka yang memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda, mengetuai konvoi kembara 25 kenderaan dengan acara pelepasan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada pukul 8.30 pagi tadi.
Turut berangkat mengikuti program kembara sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo ialah anakanda-anakanda Seri Paduka berdua iaitu Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.
Kembara Kenali Borneo hingga 13 September ini akan berakhir di Telok Melano, Sarawak merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei memberi peluang keemasan bagi rakyat di kedua-dua negeri untuk beramah mesra dengan pasangan diraja dan delegasi. – MalaysiaGazette
Siapa menteri yang bertanggungjawab sehinggakan rakyat Sabah mengadu kepada YDPA?
Menteri hancing tak buat kerja ka?
Makcik tu mengadu ada jalanraya banjir dan bukan berlopak, so ada bezanya.