Ahmad Ridhwan bersama pegawainya menunjukkan barang rampasan hasil tangkapan 10 suspek lelaki kerana disyaki merusuh dalam kejadian di Pulau Carey Banting di sini baru baru ini. Ihsan IPD Kuala Langat

KUALA LUMPUR – Seramai 10 lelaki yang disyaki terlibat merusuh dan mengakibatkan kecederaan seorang remaja lelaki di bulatan Pulau Carey, Banting, Kuala Langat pada Sabtu lalu ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan daripada remaja berusia 16 tahun menyatakan dia telah dipukul oleh sekumpulan lelaki pada jam 11.30 malam.

Katanya, siasatan polis mendapati kejadian rusuhan itu berpunca daripada tindakan menarik kereta yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di kawasan Telok Panglima Garang, Selangor.

“Bertindak atas maklumat pengadu, pada Ahad lalu sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Langat telah menangkap enam lelaki di kawasan daerah Banting.

“Hasil soal siasat dan berpandukan kepada maklumat mereka, polis berjaya membuat serbuan kedua di kawasan Telok Panglima Garang pada jam lebih kurang 9 malam hari sama kejadian sebelum menahan empat lagi lelaki yang disyaki terlibat dalam rusuhan itu” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Ahmad Ridhwan, kesemua suspek warga tempatan yang ditahan itu berusia 15 hingga 51 tahun.

“Semakan lanjut ke atas mereka mendapati empat daripadanya mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan narkotik. Ujian saringan awal air kencing ke atas mereka juga mendapati dua daripada suspek telah disahkan positif dadah jenis methamphetamine dan ganja,” ujarnya.

Menurut Ahmad Ridhwan, kesemua suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan polis.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-31872222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Abd Rahman di talian 013-9789096. – MalaysiaGazette