Datuk Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Polis menahan 74 individu positif dadah di dua premis hiburan di sekitar daerah ini dan Iskandar Puteri awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua yang ditahan berumur antara 20 hingga 50 tahun dalam operasi khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik bersama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor antara 1.30 pagi hingga 3 pagi.

Beliau berkata, operasi yang melibatkan enam pegawai dan 34 anggota itu turut membuat pemeriksaan terhadap 253 individu dan mendapati pusat hiburan terbabit mempunyai lesen yang sah tetapi beroperasi melebihi tempoh masa yang dibenarkan.

“Hasil saringan awal air kencing mendapati 54 lelaki dan 20 wanita positif dadah jenis ketamin, tetrahydrocannabinol (THC), benzo dan methamphetamine.

“Dua juruwang di pusat hiburan itu diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan Iskandar Puteri untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, kes disiasat di bawah Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor (ENJ) 4/98 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, kesemua tahanan direman selama dua hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

“Polis Johor berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Johor di talian 012-208 7222,” katanya. – Bernama