Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama barisan peguamnya selepas keputusan dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 04 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Jabatan Peeguam Negara (AGC) menjelaskan bahawa permohonan untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dibuat kepada mahkamah adalah berdasarkan kepada alasan-alasan yang telah dikemukakan dan telah pun diterima oleh mahkamah.

Menurut kenyataan AGC, semasa membuat keputusan tersebut, hakim menyatakan bahawa alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah kukuh (cogent).

Semalam, Mahkamah Tinggi memutuskan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar untuk melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid, apabila pihak pendakwaan memutuskan untuk memberhentikan prosiding, kerana mereka berhasrat menyiasat kes itu dengan lebih mendalam.

Hakim Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar 11 alasan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, untuk menghentikan prosiding kes berkenaan.

Kenyataan AGC itu dikeluarkan bagi merujuk laporan media bahawa tindakan Peguam Negara untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid sebagai tidak bermoral. – Malaysiagazette