Musa Sheikh Fadzir

GEORGE TOWN – Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang menyifatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi mangsa pendakwaan terpilih selain berharap situasi sama tidak berulang pada individu lain.

Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, tindakan pihak pendakwaan memohon untuk menghentikan prosiding adalah selaras dengan peruntukan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kami bersyukur apabila Ahmad Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

“Berdasarkan 11 alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan terhadap Ahmad Zahid, seharusnya memberi pengajaran kepada semua.

“Malah, semua institusi keadilan negara juga dilihat kembali atas landasan yang sebenar tanpa campur tangan politik pihak tertentu, supaya pendakwaan terpilih sebagaimana dikenakan terhadap Ahmad Zahid tidak berulang kepada mana-mana pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya akan terus memberi sokongan kepada Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pusat.

“Ia demi kelangsungan Kerajaan Madani dalam usaha mereformasikan institusi agar perlembagaan dan semangat keadilan dalam institusi-institusi berwajib di negara ini terus ditegakkan,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi semalam atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar memberitahu Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi Timbalan Perdana Menteri itu bagi menggugurkan kesemua tuduhan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast