GEORGE TOWN – Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin mengingatkan semua pegawai dan anggota polis negeri itu agar tidak mengunjungi pusat hiburan kecuali atas arahan kerja.
Jelas beliau, ia bagi memastikan pegawai dan anggota polis negeri itu tidak terlibat dalam apa-apa salah laku.
“Sejak kebelakangan ini, banyak media memaparkan berita masih terdapat pegawai polis dan anggota mengunjungi pusat hiburan untuk berfoya-foya, melanggan gadis pelayan pelanggan (GRO), mengambil dadah serta minuman keras.
“Tindakan sebegini telah menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap PDRM sekali gus mencemarkan nama baik dan integriti pasukan dalam mewujudkan sayu organisasi kompeten serta bebas rasuah.
“Sehubungan itu, saya ingatkan kepada semua pegawai dan anggota supaya perkara ini tidak berlaku di Kontinjen Pulau Pinang,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, hari ini.
Tambah Kok Chin, ketua jabatan dan ketua polis daerah dikehendaki memantau dan memastikan semua pegawai dan anggota tidak terjebak dalam aktiviti tersebut.
“Pegawai yang mempunyai tugas dan telah mendapat kebenaran ketua jabatan saja dibenarkan ke pusat hiburan,” tegas beliau.
Dalam perkembangan sama, Kok Chin turut mengingatkan semua warga Kontinjen Pulau Ponang untuk tidak melibatkan diri dalam aktiviti mana-mana parti politik.
“Semua pegawai dan anggota dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti atau program yang mempunyai unsur politik.
“Larangan ini termasuk memberikan pandangan berat sebelah atas sebarang isu membabitkan mana-mana parti politik.
“Ini kerana PDRM adalah sebuah organisasi kerajaan yang memberikan perkhidmatan profesional dan berkualiti dalam melindung negara serta menjamin kesejahteraan rakyat,” kata beliau. – MalaysiaGazette