Amira Saddiq
Amira Aisya Abd. Aziz

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA)  menggesa semua ahli Parlimen dalam Kerajaan Perpaduan menyatakan pendirian berkenaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz berkata, tindakan tersebut bagi membuktikan mereka konsisten menentang salah laku dan jenayah rasuah.

“Keputusan semalam jelas menunjukkan Kerajaan Perpaduan tidak benar-benar memperjuangkan isu salah laku kerana ini bukan kes pertana sebelum ini MUDA sudah pernah tuntut penjelasan tapi tiada (jawapan).

“Semalam garisan merah sudah dilangkaui dan ini amat serius. Saya rasa rakyat berhak tahu apa pendapat Ahli Parlimen mereka tentang isu besar ini ,” katanya pada sidang media.

Dalam masa yang sama beliau berkata, Pejabat Peguam Negara (AGC)  perlu memberikan penjelasan berhubung keputusan mahkamah tinggi semalam agar tidak dijadikan contoh yang bakal menjadi ikutan dalam kes berprofil tinggi yang lain kelak.

“AGC perlu jelaskan kepada rakyat kerana ini bukan kes kecil tapi kes berprofil tinggi. Apakah tindakan AGC untuk mengurus kepercayaan orang ramai apabila sehingga hari ini belum ada penjelasan?

“Semalam sudah ada yang menuntut penjelasan tapi belum ada sehingga kini. Adakah keputusan untuk melepas tanpa membebaskan terhadap Zahid akan jadi satu kes presiden kepada mana-mana ahli politik yang dihadapkan ke mahkamah nanti?” soalnya.

Amira berkata, MUDA tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas yang melibatkan kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya isu ini tidak dijelaskan dan ditangani sekaligus mengembalikan semula kepercayaan rakyat.

“Sebagai parti yang turut membentuk Kerajaan Perpaduan, MUDA tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas jika tidak ada respon daripada pimpinan tertinggi kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan parti itu akan menggerakkan Kempen Dakwa Zahid di seluruh negara tidak lama lagi selagi tidak ada penjelasan secara terperinci daripada pihak yang berkaitan.

Sebagai rekod, Mahkamah Tinggi semalam melepaskan Ahmad Zahid tanpa dibebaskan daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Zahid pada peringkat ini.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. SuRakan dulu tentang ketua kamu yang kluster mahkamah. Kamu belajar pun kerajaan BN yang bagi kemudahan. Manusia tak sedar diri.DSZH tu lebih jauh baiknya dari keuua kamu. Tanyalah ketua kamu verapa banyak pengorbanan dia untuk ugama. Kamu sedarlah diri dan maduk UMNO………….

Comments are closed.