Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika melawat kepusat mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.161 Pulai di Markas Polis Marin, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 05 SEPTEMBER 2023.

JOHOR BAHRU – Polis menerima sebanyak 28 laporan polis setakat ini sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat  berkata, kebanyakan laporan melibatkan kerosakan bahan-bahan kempen seperti bendera, poster, kain papan iklan dan lain-lain.

“Bagaimanapun dalam masa sama, sebanyak empat kes berhubung isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) turut kita terima. Dua kes disiasat di Johor dan dua lagi kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada  media ketika meninjau proses undi awal di Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Tampoi hari ini.

Untuk rekod, kesemua laluan di pintu masuk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini akan dibuka bagi memudahkan rakyat terutamanya dari Parlimen Pulai pulang mengundi Sabtu ini.

Sementara itu, Kamarul Zaman ketika ditanya mengenai kelancaran pada hari pembuangan undi berkata, pegawai dan anggota bertugas di CIQ dan BSI akan ditambah berkemungkinan mulai Khamis ini.

“Mungkin nak sampai pilihan raya Johor Bahru orang akan ramai dan pihak polis beri jaminan akan tempatkan angggota bermula keluar dari tol Tangkak dan Pagoh akan ada anggota mengawal untuk pastikan keadaan terkawal begitu juga di Johor Bahru ini,” ujarnya.

Penambahan anggota  dibuat bagi memastikan kelancaran perjalanan masuk pengundi dari Singapura dan jalan-jalan di laluan tersebut. – MalaysiaGazette