Calon Pakatan Harapan (PH) P.161 Pulai, Suhaizan Kayat bersalaman bersama Calon Perikatan Nasional (PN) P.161 Pulai, Zulkifli Jaafa ketika melawat kepusat mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.161 Pulai di Markas Polis Marin, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 05 SEPTEMBER 2023.

JOHOR BAHRU – Bagi membantu melancarkan perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK ) Sabtu ini kepada pengundi yang bekerja di Singapura,  tambahan kaunter akan dibuka di Kompleks Kastam  Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) pada Jumaat ini.

Perkara itu dinyatakan sendiri calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kayat .

Beliau berkata, penambahan kaunter itu nanti sudah pasti melancarkan laluan pekerja di republik berkenaan yang ingin pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Saya telah maklum kepada pihak berkenaan dan akan menambah kaunter untuk memudahkan  pengundi dari Singapura masuk dan ini maknanya dia tidak tersekat.

“Dengan itu semua pengundi boleh balik dengan lebih selesa pada hari Jumaat dan 9 haribulan ini.  Insya-Allah,” katanya ringkasnya ketika ditemu media di Pasukan Polis Marin Wilayah Dua sempena undi awal bagi pegawai dan anggota polis di sini hari ini.

Suhaizan berkata, perkara itu penting kerana seramai kira-kira 30 peratus daripada 167,108 pengundi Parlimen Pulai bekerja di Singapura.

Sebelum ini calon PH itu mengharapkan Jabatan Imigresen akan menyediakan laluan khas di Tambak Johor dan LinKedua pada 9 September ini.

Parlimen Pulai menyaksikan seramai 167,108 individu layak mengundi dengan pecahan seramai 74,814 pengundi Melayu iaitu 44.17 peratus, Cina seramai 67,635 pengundi (40.48 peratus) India seramai 20,555 pengundi (12.30 peratus) serta lain-lain kaum seramai 5,104 (3.05 peratus).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh pengundian awal pada hari ini, manakala hari pengundian pula pada Sabtu ini.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai diadakan susulan penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Parlimen Pulai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat; calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan calon bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.- MalaysiaGazette