Sayani Saidon.

IPOH – Mayat pekerja yang terperangkap dalam kejadian runtuhan batu di sebuah tapak kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini, hari ini berjaya dikeluarkan pada 2.36 petang, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon.

Sayani berkata, jasad mangsa Sohail Sajjad, 36, yang merupakan warga Pakistan berjaya dikeluarkan dalam keadaan sempurna meskipun terdahulu tangan mangsa tersangkut di bawah jentera.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan pada 10.56 pagi dan setibanya di lokasi didapati keadaan ketika itu masih tidak selamat kerana terdapat runtuhan kecil sebelum meneruskan kerja penyelamatan sesudah keadaan kembali stabil.

“Kami berjaya alihkan batu-batu tersebut, tetapi keadaan kembali tak stabil, kami terpaksa menghentikan proses mengeluarkan mangsa pada masa itu, sebelum usaha memecahkan batu-batu yang menimpa tangan mangsa berjaya dilakukan apabila keadaan kembali stabil dan berjaya menarik keluar mangsa kira-kira 2.36 petang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sayani berkata, jasad mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, selain memaklumkan operasi hari ini melibatkan kira-kira 20 anggota terdiri daripada bomba, polis, Kementerian Kesihatan serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Sayani berkata, beliau difahamkan sebelum kejadian, mangsa bersama dua rakannya yang juga warga Pakistan sedang menggunakan jentera berkenaan bagi mengalihkan batu-batuan di lokasi berkenaan.

“Dimaklumkan ada runtuhan kecil dan mereka telah diarahkan meninggalkan kawasan tersebut. Mangsa bersama dua kawannya telah keluar, cuma mangsa ini berpatah balik kerana dikatakan ada barang dia yang tertinggal di situ.

“Dalam cubaan dia mengambil (barang) itulah yang runtuhan itu berlaku dan mangsa dalam usaha cuba menyelamatkan dirinya, berlindung di bawah mesin pengorek itu. Kami jumpa mangsa pun tadi memang masih di bawah mesin pengorek yang tertimbun dengan batu-batuan dan tangannya juga terlekat pada celah mesin itu,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam pada 10.50 pagi serta dengan kerjasama JBPM termasuk agensi berkaitan telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang dikatakan tertimbus dalam runtuhan itu. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast