Logo UPM

SERDANG – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Putra Malaysia (UPM) menyambut baik pengumuman Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk menyerahkan kepada pelajar dan pengurusan di institusi pendidikan tinggi (IPT) bagi merangka Garis Panduan Aktiviti Hiburan (Konsert).

Menerusi kenyataan, MPP UPM memaklumkan, selaras dengan saranan itu, pihaknya telah membuat mesyuarat segera bersama pemimpin badan-badan pelajar UPM hari ini bagi menambahbaik garis panduan aktiviti hiburan dan konsert di universiti tersebut dengan mengambil kira kepentingan lokaliti, norma dan budaya pelajar berbilang kaum selaras dengan konsep Malaysia MADANI.

Sebagai contoh katanya, MPP UPM terlibat secara langsung dalam penilaian risiko penganjuran aktiviti berbentuk hiburan di universiti itu dengan berpandukan Senarai Semak Penganjuran Aktiviti Hiburan.

“Kami juga membuka peluang kepada pelajar-pelajar UPM terutamanya yang terlibat dalam aktiviti kebudayaan dan hiburan untuk sama-sama memberikan pendapat kepada MPP UPM dalam pemurnian draf garis panduan ini.

“Saranan Menteri Pendidikan Tinggi ini menunjukkan beliau komited dengan Agenda Ke-11 fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi iaitu Pemerkasaan Mahasiswa yang bermatlamat memberi lebih banyak tanggungjawab dan ruang membuat keputusan kepada pelajar.

“MPP UPM juga membantah tindakan badan pelajar lain yang disifatkan sebagai ‘gelojoh’ dalam mencabar draf garis panduan ini yang masih belum diluluskan di peringkat kementerian,” katanya.

Dalam pada itu MPP UPM berkata, pihaknya turut menyambut baik saranan Mohamed Khaled apabila menyerahkan kepada Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) untuk menilai dan merangka semula draf garis panduan tersebut sebelum diluluskan di peringkat kementerian.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu ketika mengulas isu berkenaan berkata, badan pelajar sepatutnya mengambil peranan aktif dalam merangka garis panduan bersama institusi masing-masing untuk memastikan garis panduan yang dibangunkan menepati lokaliti, imej dan reputasi, sekaligus bersifat komprehensif serta inklusif.

Katanya, peluang untuk pemimpin pelajar duduk bersama merangka garis panduan ini telah ‘terhidang’.

“Jadi, gunakan platform ini sebaiknya dan bukan untuk menjadi jaguh publisiti dalam isu yang belum lagi mempunyai noktahnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast