Seorang pekerja menyusun peket beras ketika tinjauan harga beras di pasar raya di sekitar Puncak Alam, Selangor. Foto QURRATU AINI, 6 SEPTEMBER 2023. Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bersedia memasarkan beras kepada pengguna melalui rangkaian peruncitannya di seluruh negara sekiranya berlaku masalah kekurangan bekalan komoditi itu.

Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, langkah itu bagi memastikan pengguna tidak mempunyai masalah mendapatkan bekalan makanan ruji itu.

Jelas beliau, pihaknya kini sedang menunggu arahan lanjut berhubung pelaksanaan langkah tersebut daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang dijangka mengadakan perbincangan dengan Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan pengeluar padi esok.

Abdul Rashid (dua dari kiri) melancarkan portal Agrobazar Online dan sesi menandatangani perjanjian MoU antara Fama bersama Razer Merchant Services Sdn Bhd di Pulau Pinang hari ini.

“Berdasarkan pengalaman FAMA sebelum ini kita telah mengedarkan telur apabila berlaku krisis kekurangan telur yang mana ketika itu menteri meminta kita untuk mengedarkannya di tempat yang berdepan situasi kekurangan bekalan contoh Pantai Timur.

“Jadi kerajaan minta tempat-tempat yang ada kekurangan (telur) untuk FAMA intervensi jadi kita buat. Perkara sama juga dalam isu beras yang mana FAMA diminta masuk untuk mengedarkan beras seperti mana berlakunya kekurangan telur

“Justeru FAMA bersedia membantu di tempat-tempat yang berlaku kekurangan tetapi kita tidak jual di pasar raya kerana pihak pasar raya sudah ada penyusunan sendiri,” katanya selepas melancarkan portal Agrobazaar Online (ABO) versi 3.0 dan sesi menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara FAMA bersama Razer Merchant Services Sdn Bhd di sini, hari ini.

Tambah Abdul Rashid, FAMA telah membantu memasarkan beras tempatan secara tidak langsung dalam program jualan Agro Madani yang dianjurkan dari semasa ke semasa di pelbagai lokasi pada ketika ini.

Sabtu lalu , KPKM dalam satu kenyataan meminta pengilang padi dan pemborong beras meningkatkan bekalan beras putih tempatan (BPT) sebanyak 20 peratus menerusi Program Khas Beras Putih Tempatan, sebagai langkah intervensi memulihkan bekalan beras di pasaran.

Menerusi porgram tersebut, BERNAS akan memberikan kuota tambahan kepada pemborong-pemborong Bumiputera untuk menambah bekalan BPT negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast