KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menggesa Jabatan Peguam Negara telus dalam menjawab persoalan yang dilontar oleh rakyat demi menjaga kredibiliti institusi itu.

Jawatankuasa Eksekutif Pusat, Nurainie Haziqah Shafi’i berkata, ini kerana kenyataan jabatan tersebut berkenaan alasan  keputusan melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahamd Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan baru-baru ini sebagai mengelirukan.

Katanya, perkataan ‘cogent’ yang digunakan dalam kenyataan ringkas jabatan tersebut membawa maksud jelas, logik dan meyakinkan namun bertentangan hakikat sebenarnya.

Dalam masa yang sama, katanya lagi, hujah Jabatan Peguam Negara secara tidak langsung menggambarkan pasukan pendakwaan sebelum ini telah memberi hujah yang lemah.

“Jabatan Peguam Negara mesti mengambil tanggungjawab penuh terhadap kenyataan yang dibuat dan bukan seolah-olah menunding jari kepada Mahkamah kerana membenarkan keputusan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.

“Keduanya, sekiranya alasan yang dikemukakan oleh pendakwa raya itu dikatakan kukuh atau ‘cogent’ adakah mereka mengatakan bahawa kes yang dikemukakan oleh Raja Rozela (Timbalan Pendakwa Raya sebelum ini) berlandaskan hujah yang lemah, tidak meyakinkan dan cacat cela?

“Adakah Raja Rozela dan Jabatan Peguam Negara gagal dalam melaksanakan tugas mereka sebelum ini terutamanya apabila sudah ada Prima Facie dibuktikan dalam kes ini?” soalnya.

Terdahulu, menerusi satu kenyataan ringkas, Jabatan Peguam Negara berkata Zahid dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) selepas Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah yakin dengan hujah yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast