Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S.Vijaya Rao

KLANG – Polis sudah mengenal pasti beberapa individu yang terlibat dalam video tular pergaduhan di sebuah restoran di kawasan Bandar Baru Klang dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S.Vijaya Rao berkata, antara individu yang sedang dikesan itu pernah ditangkap pihak polis sebelum ini.

“Polis juga masih lagi mengesan beberapa saksi bebas di tempat kejadian. Usaha mengesan bukti dan kamera litar tertutup sedang dijalankan bagi mengesan suspek lain yang terlibat.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat, bolehlah disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara ataupun mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, polis mengesan beberapa video yang tular di media sosial mengenai satu pergaduhan antara beberapa lelaki di sebuah restoran di kawasan Bandar Baru Klang.

Vijaya berkata, susulan pergaduhan itu, pihaknya menerima laporan daripada pemilik restoran terbabit mengatakan kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 1 pagi, 5 September lalu.

“Terdapat kira-kira 20 orang lelaki sedang bergaduh antara satu sama lain dan turut menyerang pelanggan pengadu yang sedang makan di dalam restoran tersebut,” katanya.

Akibat pergaduhan tersebut, beberapa pelanggan turut mengalami kecederaan dan telah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

“Pihak polis mengklasifikasikan kes di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata,” katanya lagi. – MalaysiaGazette