Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution

JOHOR BAHRU – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan rasuah tiada kaitan dengan kuasa eksekutif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, ia adalah kuasa Peguam Negara (AG) mengikut perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Peguam Negara ada kuasa di bawah Perkara 145 untuk dakwa atau tidak, untuk meneruskan atau menggugurkan (sesuatu pertuduhan).

“Itu kuasa yang ada dalam Perlembagaan. Sebab itu saya menolak dan menangkis sebarang tuduhan dan andaian bahawa tindakan apa pun yang dibuat oleh Peguam Negara, semuanya diletakkan di bahu Perdana Menteri.

“Ini seolah oleh Perdana Menteri tiada kerja lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai di Taman Angerik di sini malam tadi.

Perkara 145 antara menyatakan Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.

Pada Isnin, Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Jabatan Peguam Negara menegaskan permohonan untuk melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid dalam prosiding pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dibuat berdasarkan alasan-alasan yang telah dikemukakan kepada mahkamah.

Sementara itu, mengulas kenyataan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang menggesa reformasi institusi dilakukan, Saifuddin Nasution berkata, ketika ini kuasa untuk melantik Peguam Negara adalah atas perkenan Yang Dipertuan Agong berdasarkan cadangan ketua eksekutif.

“Ini bukannya pertama kali, kita ini mewarisinya sistem sudah berjalan. Kalau ada apa-apa usul untuk mengubah keadaan sekarang, caranya adalah seperti dicadangkan oleh saudara Wong Chen. Kita akan tengok daripada situ dan saya tak ada sebarang komen lebih daripada itu.

“Buat masa sekarang sistem yang ada begitu,” tegasnya.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ini agc Pandir Alibaba yang sewaktu dengan nya hahaha berapa juta dapat tu SPRM tak nak jalan kan kerja ke . ada kerja kosong nampak tu

Comments are closed.