Daniel Abed Khalife

LONDON – Polis sedang mengadakan operasi besar-besaran di seluruh Britain untuk memburu bekas tentera yang menghadapi tuduhan keganasan yang berjaya memboloskan diri dari penjara Wandsworth sebelum jam 8 pagi.

Daniel Abed Khalife, dipercayai mengikat dirinya ke bahagian bawah van yang menghantar makanan.

Dia sedang menunggu perbicaraan atas tuduhan memasang bom palsu di pangkalan tentera, dan melanggar Akta Rahsia Rasmi negara.

Polis merayu kepada orang ramai untuk mendapatkan bantuan dan melancarkan pemburuan segera di seluruh negara.

Pemeriksaan telah dipertingkatkan di lapangan terbang di tengah-tengah kebimbangan dia mungkin cuba melarikan diri dari negara itu, mengakibatkan para penumpang menghadapi kelewatan di Lapangan Terbang Heathrow serta di pelabuhan Dover.

Khalife mempunyai hubungan dengan kawasan Kingston di barat daya London namun polis percaya “kemungkinan besar” dia kekal di bandar itu.

“Kami mempunyai sepasukan pegawai yang membuat siasatan untuk mengesan dan menahan Khalife secepat mungkin.

“Orang ramai juga boleh membantu kami dengan menyalurkan maklumat sekiranya ternampak Khalife,” kata Komander Dominic Murphy, Ketua Perintah Anti Keganasan Polis Metropolitan dalam satu kenyataan.

Setakat ini tiada maklumat terkini mengenai pemburuan itu, 24 jam selepas banduan itu melarikan diri.

Polis berkata, Khalife, yang bekerja di dapur penjara, berpakaian seragam dapur ketika dia melarikan diri.

Beberapa saluran berita United Kingdom melaporkan, Khalife melarikan diri dengan berpaut pada bahagian bawah van penghantaran.

Khalife, memakai kemeja-T putih, seluar kotak merah dan putih yang biasanya dipakai oleh kakitangan dapur.

Khalife ditempatkan di Beacon Barracks di Staffordshire, di Midlands England, selepas didakwa eletakkan tiga kanister dengan wayar di atas meja untuk membuat orang lain percaya ia “kemungkinan meletup atau menyala dan dengan itu menyebabkan kecederaan peribadi atau kerosakan harta benda,” agensi berita yang memetik pertuduhan lelaki itu di mahkamah.

Lelaki ini dituduh menimbulkan atau cuba mendapatkan maklumat yang mungkin berguna kepada pengganas pada Ogos 2021, dan mengumpul maklumat yang boleh berguna kepada musuh antara Mei 2019 dan Januari 2022.

Namun dia tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Khalife ditahan sementara menunggu perbicaraan yang ditetapkan pada 13 November di Woolwich Crown Court di London. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast