Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemui mati di Batu 14, Puchong pada awal pagi semalam selepas dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, berdasarkan siasatan awal mangsa yang berusia 25 tahun dilarikan sekumpulan lelaki dipercayai rakan-rakannya ketika berada di kawasan PPR Kampung Muhibbah pada malam Ahad lalu.

“Pada 4 September 2023 jam lebih kurang 5.02 pagi, pengadu seorang lelaki telah membuat laporan polis berhubung anaknya yang dibawa lari oleh sekumpulan lelaki yang dikenali.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau,  sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Daerah Cheras menangkap empat suspek berumur 27 hingga 35 tahun.

Ujar beliau, semua suspek direman bermula hari ini sehingga 10 September.

“Suspek memiliki beberapa rekod lampau berkautan kes dadah,” katanya.

Tambahnya, pihaknya sedang mengesan dua lagi  suspek yang masih bebas.-MalaysiaGazette