SHAH ALAM – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan mewujudkan satu jawatankuasa khas berhubung kemerosotan minat pelajar yang mendadak dalam bidang sains di negara ini.
Menteri, Chang Lih Kang berkata, penurunan itu dapat dilihat dari segi pelajar menegah atas yang memilih aliran sains tulen.
“Kita sudah bermesyuarat beberapa kali dan minggu depan ada mesyuarat bersama beberapa KSU kementerian.
“Selepas itu baru tubuh satu jawatankuasa bersama dengan beberapa menteri berkenaan.
“Kita perlu selesaikan secepat mungkin,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Menteri, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Kurup mendedahkan minat pelajar terhadap bidang sains di negara ini merosot dengan ketara kepada 40 peratus pada tahun lalu berbanding 66.7 peratus pada 2019.
Beliau berkata data itu berdasarkan hasil Kajian Kesedaran Awam Mengenai STI (Sains, Teknologi dan Inovasi) Malaysia 2022.
Katanya, kajian yang dilakukan Pusat Maklumat Sains dan Teknologi Malaysia (MASTIC), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu mengenal pasti empat sebab utama enrolmen rendah dalam aliran sains.
Antara empat sebab utama enrolmen rendah dalam aliran sains adalah kerana minat pelajar lebih cenderung terhadap bidang bukan berteraskan sains.
Selain itu, sains dianggap mata pelajaran sukar untuk difahami, mata pelajaran sains sukar untuk dikuasai dan keempat tidak berminat dengan bidang sains di sekolah. – MalaysiaGazette