KUALA LUMPUR – Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Datuk Ts Dr. Massila Kamalrudin telah ditauliahkan dengan pangkat Kolonel (Kehormat).
Majlis berkenaan telah berlangsung di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, baru-baru ini.
Penganugerahan tauliah tersebut telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong di atas syor Sidang Majlis Angkatan Tentera sebelum ini.
Upacara pemakaian pangkat tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan telah disaksikan oleh
Pegawai-pegawai Kanan Tentera Darat Malaysia.
Seiringan itu dengan pentauliahan pangkat Kolonel (Kehormat) tersebut maka secara rasminya beliau telah dilantik sebagai Komandan bagi memimpin Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UTeM.
Dr. Massila sewaktu ditemui selepas tamat majlis berkenaan menzahirkan rasa terima kasih kepada Tentera Darat Malaysia di atas pemakaian pangkat tersebut serta sokongan hebat kepada PALAPES UTeM.
Beliau berharap agar pasukan PALAPES UTeM akan terus berkembang maju dan mempamerkan kecemerlangan berterusan dalam melahirkan mahasiswa yang mampan.
“PALAPES UTeM telah ditubuhkan pada tahun 2018 di mana pengambilan pertama kumpulan Pegawai Kadet dari kalangan mahasiswa UTeM telah dijayakan pada tahun 2019.
“Kumpulan Pegawai Kadet perintis ini bakal menempa sejarah tersendiri apabila julung kalinya pada tahun ini mereka akan dikurniakan Watikah Tauliah sebagai Pegawai Muda Tentera Darat Malaysia semasa Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke-41.
“Pada masa yang sama PALAPES UTeM terus seiringan dengan matlamat Pasukan Simpanan Tentera Darat iaitu antaranya adalah untuk melatih pegawai dari kalangan mahasiswa tentang aspek ilmu dan kemahiran ketenteraan sekaligus menjadikan mahasiswa lebih dinamik, kental dan berdisiplin tinggi,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette