PUTRAJAYA – Sebanyak 222 projek perumahan swasta berjaya dipulihkan melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan RM20.61 bilion.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir semua projek tersebut telah menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan kini bertukar ke status lancar.
“Daripada jumlah tersebut sebanyak 44 projek berjaya dipulihkan hntum tempoh 1 hingga 31 Julai melibatkan GDV RM3.14 bilion,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Status Terkini Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai.
Kata Akmal, status terkini berkenaan disahkan semasa mesyuarat Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) kali kelapan pada 28 Ogos yang lalu.
Beliau berkata, dalam masa yang sama TFST juga telah mengenal pasti isu utama menyebabkan projek perumahan sakit dan terbengkalai iaitu masalah dalaman dan luaran.
“Masalah dalaman melibatkan keupayaan pengurusan projek dan keeangan mereka; pengurusan di tapak binaan melibatkan kontraktor dan pertikaian kontrak.
“Masalah luaran pula keperluan syarat penyiapan projek oleh agensi Pihak Berkuasa Tempatan dan pengurusan, pemantauan Akaun Pemajuan Perumahan (HDA) oleh institusi kewangan dan perbankan,”katanya. – MalaysiaGazette