KUALA LUMPUR – Penyanyi muda dari Indonesia, Putri Ariani terus mencipta fenomena apabila dia berjaya mara ke pusingan akhir America’s Got Talent (AGT).
Pada persembahan di pentas separuh akhir, lontaran suara gadis berusia 17 tahun itu telah memukau penonton yang hadir menerusi lagu “I Still Haven’t Found What I’m Looking For” yang dipopularkan kumpulan U2.
Persembahan Putri Ariani diakhiri dengan tepukan gemuruh penonton yang hadir, serta ‘standing ovation‘ daripada juri AGT.
Ketua Juri, Simon Cowell mengakui dia hilang kata-kata menyaksikan persembahan menakjubkan yang ditunjukkan gadis kelahiran Bangkinang, Indonesia itu.
Di YouTube pula, menerusi akaun rasmi AGT, jumlah tontonan video persembahan Putri Ariani kini sudah mencecah lima juta tontonan.
Putri Ariani akan berentap bagi acara akhir di Las Vegas, Amerika Syarikat pada 26 September depan dan berpeluang merebut hadiah bernilai AS$1 juta dan kontrak persembahan. – Agensi