KUALA LUMPUR – Angkatan Anak Muda (Armada) Bersatu mengingatkan DAP agar tidak hanya fokus kepada isu sempadan pilihan raya di kawasan bandar sekirnya parti itu benar-benar ikhlas mahu memperjuangkan demokrasi.
Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, DAP perlu perjuangkan isu pecah undi orang Melayu dan peraturan dana politik.
“Saya merujuk kdua kenyataan pemimpin DAP, M Kulasegaran kata “persempadanan tak perlu ditakuti” manakala, Lim Guan Eng kata “persempadanan pilihan raya ialah urusan Suruhanjaya Pilihan Raya Raya (SPR)”.
“Ini membayangkan DAP sedang merancang untuk membuat persempadanan semula. Motif mereka ialah untuk menambah kawasan Parlimen bandar. Umum tahu kawasan bandar selama ini dikuasai DAP. Pendek kata, ini menguntungkan DAP.
“Lim Guan Eng pula membayangkan seolah-olah SPR adalah badan bebas tanpa campur tangan Perdana Menteri. Nampaknya, dia tak belajar sejarah. Ketika Perlembagaan Persekutuan mula-mula digubal berdasarkan cadangan Suruhanjaya Reid, Perkara 114 menjamin kebebasan SPR supaya sama taraf dengan hakim Mahkamah Persekutuan yang tidak boleh diganggu oleh kerajaan mahupun Parlimen.
“Namun begitu, apabila laporan SPR pada 1960 tidak dipersetujui UMNO atas alasan merugikan Melayu, beberapa pindaan dibuat hingga akhirnya SPR melapor kepada Perdana Menteri. Fakta yang SPR melapor dan buat perubahan mengikut Perdana Menteri ialah satu pengetahuan umum,” kata Ahli Parlimen Machang itu menerusi hantaran di Facebook.
Malah, Wan Ahmad Fayhsal berkata, DAP dan NGO yang menjadi proksi mereka sering membuat bising mengenai perkara tersebut semasa mereka menjadi pembangkang.
Ujarnya, apabila Kulasegaran memaksa menyatakan persempadanan semula DAP sebagai proses demokrasi, ia menyimpang daripada kebenaran.
Katanya lagi, DAP menjual isu persempadanan seolah-olah ia satu-satunya masalah dalam sistem pilihan raya negara ini.
“Tahukan DAP bahawa isu yang lebih hangat dibincangkan seluruh dunia ialah isu pecah undi atau undi sia-sia (Wasted Vote) kerana pertandingan tiga penjuru.
“Dalam PRU15, lebih 80 peratus daripada undi Barisan Nasional (BN) menjadi sia-sia dan lebih 40 peratus undi Perikatan Nasional (PN) menjadi sia-sia akibat pecah undi di kawasan Melayu manakala undi sia-sia Pakatan Harapan (PH) hanyalah 20 peratus.
“Begitu juga isu dana politik. Di mana-mana negara, peraturan dana politik adalah wajib. Ia mewajibkan semua parti politik untuk mendedahkan penderma dan jumlah derma.
“Kenapa DAP tidak memperjuangkan isu dana politik? Adakah kerana mahu menyorokkan derma besar tauke-tauke supaya pengundi Melayu tak tahu?,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















