MELAKA – Kerajaan negeri Melaka sedia menawarkan insentif kepada mana-mana syarikat penerbangan komersial yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam, di sini.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, ia selepas dua syarikat penerbangan terpaksa menghentikan operasi mereka sebelum ini kerana mengalami kerugian akibat kurang sambutan.
“Saya sendiri sudah adakan mensyuarat dengan enam syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa termasuklah Air Asia yang sebelum ini beroperasi di LTAM namun sehingga kini tiada sebarang petunjuk positif.
“Isu utama adalah kos operasi yang tinggi sedangkan jumlah penumpang pula pada hari biasa tak sampai separuh dari kapasiti penuh pesawat menyebabkan mereka terpaksa hentikan penerbangan,” katanya kepada pemberita, di sini.
Rabu lalu, MalaysiaGazette melaporkan kekecewaan orang ramai apabila LTAM menghentikan operasi pesawat komersial sejak bulan lalu.
Kali terakhir penerbangan ke Pulau Pinang adalah pada Jun lalu manakala dari Pekan Baru, Indonesia pada 16 Ogos lalu.
Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka Chapter, Khairulnizam Kasim berkata, situasi itu akan mencacatkan kedatangan pelancong menjelang TMM2024 dan berharap pihak berkuasa dapat lakukan sesuatu untuk memastikan semua pemain industri tidak terjejas.
Mengulas lanjut Hameed berkata, kekurangan penumpang komersial berbeza dengan sebelum Covid-19 tiga tahun lalu yang menyaksikan jumlah pelancong yang tinggi walaupun pada hari biasa.
“Sebab itu, terbaru kita juga berbincang untuk sediakan insentif yang boleh membantu syarikat namun itu pun kita masih menunggu reaksi balas mereka apakah bentuk bantuan diperlukan.
“Justeru, kita mempelawa mana-mana syarikat penerbangan komersial untuk beroperasi di LTAM yang sedang rancak mengadakan pelbagai acara sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.
Jelasnya, antara program dirancang termasuklah untuk menghidupkan LTAM dengan penganjuran Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) dari 29 September hingga 1 Oktober ini.
Setakat ini katanya, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa daripada Australia, Rusia, Thailand dan Singapura sudah mengesahkan penyertaan selain daripada agensi kerajaan seperti tentera, polis dan bomba. – MalaysiaGazette