Najib
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Empat daripada 11 alasan yang yang diberikan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi memberhentikan pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikatakan turut terpakai untuk kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Penganalis politik, Lim Sian See berkata, AGC telah mengambil maklum mengenai pengumuman Kabinet untuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat isu yang dibangkitkan dalam buku tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Menurut beliau, jabatan berkenaan juga menyatakan tentang isu pendakwaan terpilih yang dibangkitkan oleh Ahmad Zahid dalam representasinya.

Sian See menambah, AGC berpandangan semua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid perlu diberhentikan sementara menunggu siasatan isu tersebut serta memo dalaman jabatan tersebut yang bocor selesai.

“Alasan-alasan ini juga terpakai untuk kes-kes Najib. Adakah Peguam Negara juga akan melanjutkan keadilan yang sama bagi kes-kes Najib?” soalnya dalam hantaran Facebook, hari ini.

AGC memberi 11 alasan itu dalam kenyataan media semalam bagi menjawab tuduhan Majlis Peguam kononnya jabatan itu telah dengan sendirinya mencemarkan reputasi dan kredibilitinya.

Jabatan berkenaan turut menafikan tuduhan Majlis Peguam bahawa ia menggunakan perkataan ‘menarik balik’ dalam kes Ahmad Zahid.

Isnin lalu, selepas 77 hari dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ahmad Zahid dibebaskan tanpa dilepaskan (DNAA) daripada 47 pertuduhan membabitkan Yayasan Akalbudi selepas Pejabat Peguam Negara (AGC) membuat permohonan tersebut kepada mahkamah.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan permohonan AGC supaya prosiding perbicaraan diberhentikan bagi semua pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast