Mohamed Khaled Nordin melancarkan Program Pembangunan Komuniti Usahawan Tani dan Inovasi Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), di Kota Tinggi pagi tadi.

KOTA TINGGI – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyarankan agar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sentiasa ‘turun padang’ membantu masyarakat untuk menyelesaikan isu setempat.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berbekalkan ilmu, kepakaran dan teknologi yang ada, IPT harus bergerak mencari jalan bagi memastikan masyarakat menjadi semakin baik sekaligus mampu meningkatkan keterlihatan peranan dan sumbangan IPT.

“Saya tekankan iaitu memang sesuatu yang sangat diharapkan oleh kementerian supaya setiap universiti dalam negara termasuk UPM akan meneruskan libat urus dengan masyarakat ini melalui program ‘outreach’.

“Ilmu yang didapati daripada penyelidik harus diaplikasikan oleh masyarakat,” katanya ketika berucap ketika melancarkan Program Pembangunan Komuniti Usahawan Tani dan Inovasi Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), di Kota Tinggi pagi tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norlizah Noh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Muszaide Makmor, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPM, Prof. Dr Ismi Arif Ismail dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah, Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Tinggi Timur, Hashim Muhammad.

Antara perkara yang didepani pada ketika ini jelasnya termasuk isu keterjaminan makanan yang menuntut kepakaran dan penyelidikan pakar-pakar di IPT bagi menyelesaikan isu seperti pertanian serta perladangan.

Jelas Khaled, dengan penyelesaian isu berkenaan, ia mampu meningkatkan produksi dan pengeluaran hasil serta menjana pendapatan lebih kepada komuniti.

Beliau turut berharap agar Kota Tinggi akan menjadi makmal lapangan atau salah satu stesen pengembangan pertanian dan keterjaminan makanan UPM bagi melestarikan usaha ini.

“Saya rasa perlu untu kita hubungkan masyarakat Kota tinggi yang sebahagian besarnya menjayakan aktiviti pertanian dan penternakan.

“Kita merasakan bahawa ini satu pendekatan yang terbaik dalam usaha kita membangun dan memajukan komuniti Kota Tinggi,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu juga mahu ilmu dan kepakaran yang ada perlu disusun dengan cara yang sesuai dan mudah untuk dipraktikkan oleh masyarakat.

Khaled juga berharap agar program-program yang disusun bersifat menyentuh dan menguruskan keperluan setempat, yang mampu memberi hasil kepada masyarakat.

Kata Khaled, perkongsian ilmu dari universiti juga harus bersifat jangka panjang dan berterusan. – MalaysiaGazette