Anthony Loke.

SHAH ALAM – Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) akan menyediakan koc khas buat wanita mula bulan hadapan, kata Anthony Loke Siew Fook.

Menteri Pengangkutan itu berkata, ia bertujuan untuk menjaga keselesaan dan keselamatan penumpang wanita. 

“LRT Kelana Jaya cukup sesak macam sardin, nak masukan koc wanita nanti lelaki nak pergi mana? Saya jawab saya akan konsisten memperjuangkan nasib wanita walaupun saya lelaki saya akan laksanakan koc wanita tersebut.

“Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter sudah mulakan, mengapa MRT dan LRT perlu koc wanita? Sebab wanita ada pilihan untuk gunakan koc wanita sahaja.

“Kita tahu ada kebimbangan besar di kalangan wanita ada gangguan seksual,” katanya dalam ucapan perasmian Kongres Kebangsaan Wanita DAP, di sini, pagi tadi.

Justeru itu, beliau mengarahkan agar Prasarana segera menyediakan koc wanita di MRT dan diikuti LRT.

“Saya katakan kepada Prasarana kena adakan koc khas untuk wanita, dimulakan dengan MRT laluan Kajang dan diperluaskan kepada laluan lain,” katanya lagi.

Julai lalu, Anthony berkata, kementerian itu akan memperkenalkan sebuah koc wanita di laluan MRT mengambil maklum mengenai kebimbangan penumpang wanita setiap kali berada dalam koc yang penuh sesak.

Pada 28 April 2010 KTM memperkenalkan koc wanita yang menggunakan warna merah jambu untuk menarik perhatian penumpang wanita yang merangkumi 60 peratus pengguna. – MalaysiaGazette