KUALA LUMPUR – Lori yang membawa muatan berlebihan dikenal pasti sebagai punca kerosakan Jalan Simpang Bakun ke Empangan Bakun di Bintulu, Sarawak.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau mendapat laporan bahawa lori-lori tersebut sengaja melanggar peraturan malah ada pihak bertindak memotong gantri yang dipasang untuk menghalang mereka menggunakan laluan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau telah berbincang untuk mendapatkan kerjasama penduduk tempatan selain memohon bantuan pengguna jalan raya yang lain untuk melaporkan segera tindakan sedemikian.
“Mereka digalakkan merakamkan gambar perbuatan-perbuatan yang menyalahi peraturan ini dan melaporkannya menerusi aplikasi MYJalan, supaya kita dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan segera,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Terdahulu, Alexander mengadakan lawatan kerja ke lokasi berkenaan untuk meninjau semula beberapa projek membaiki jalan yang dilaksanakan sepanjang tahun ini.
Kementerian Kerja Raya juga telah mengambil inisiatif melaksanakan pemasangan gantri di empat lokasi untuk mengawal kenderaan lebih muatan yang menggunakan laluan sepanjang 128.46 kilometer itu.
Beliau memberitahu, menerusi Kempen #MYJalan, satu tindakan menyeluruh sedang dilaksanakan melibatkan Kementerian Pengangkutan untuk mencari penyelesaian jangka panjang, memastikan isu kerosakan jalan disebabkan kenderaan lebih muatan ini dapat dikurangkan.
Alexander menambah, bagi Jalan Simpang Bakun ke Empangan Bakun, secara keseluruhan, Kementerian Kerja Raya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM7.5 juta untuk memperbaiki turapan jalan yang rosak teruk berpunca daripada kelemahan struktur pavemen.
“Peruntukan ini antara lain melibatkan pembaikan segera lokasi kerosakan jalan yang kritikal dan pemasangan gantri serta papan tanda jalan had berat muatan yang dibenarkan,” jelasnya.
Alexander berkata, Kementerian Kerja Raya juga merancang untuk melebarkan sebahagian laluan membabitkan laluan memotong di lokasi sesuai untuk keselesaan pengguna tahun depan, bergantung kepada kelulusan dalam Belanjawan 2024.
“Secara keseluruhan, KKR memerlukan RM30 juta untuk menaik taraf laluan ini dan saya memberi jaminan akan berusaha mendapatkan peruntukan berkenaan demi keselesaan dan keselamatan pengguna,” katanya. – MalaysiaGazette
















