Ayob Khan meninjau proses mengundi bagi PRK Pulai di pusat pengundian Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU — Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka dua kertas siasatan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya akan memanggil Presiden Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu pada 12 September ini untuk mengambil keterangan berhubung siasatan berkenaan.

“Ada dua IP (kertas siasatan) dibuka terhadap Muhyiddin ini susulan kenyataan beliau dakwaan ‘fatwa’ dan juga kenyataan berkenaan orang Melayu akan hiang kuasa.

“Jadi ada dua IP dibuka dan kita akan panggil beliau pada 12 Sept untuk ambil keterangan,” katanya selepas meninjau proses mengundi bagi PRK Pulai di pusat pengundian Maktab Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Ayob Khan berkata, buat masa ini tiada penambahan kertas siasatan baharu dibuka melibatkan pemimpin parti politik berhubung isu 3R (agama, bangsa dan raja).

Sebelum ini, Muhyiddin mendakwa, tindakan tidak mengundi Suhaizan itu perlu bagi menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan Kerajaan Perpaduan tidak membantu rakyat dalam kesusahan. – MalaysiaGazette