KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) telah mengadakan Sesi Bersama Media Sempena Kempen ‘Ini Batik Malaysia’ bertempat di Laman Wau, Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
Menurut satu kenyataan, sesi itu dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Datuk Mohd Zamri Mat Zain dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ainu Sham Ramli.
Katanya, Sesi Bersama Media itu bermatlamat memberikan pendedahan, kesedaran serta pengetahuan mengenai batik Malaysia kepada rakan media melalui sesi taklimat batik Malaysia, peragaan, pameran dan demonstrasi Batik Canting, Batik Terap, Batik Sutera Saring dan Batik Alternatif.
“Menerusi sesi ini, diharapkan rakan media dapat menyebarluaskan dan menjadi medium sumber maklumat kepada masyarakat mengenai batik Malaysia.
“Secara langsung peranan rakan media membantu membudayakan pemakaian batik Malaysia dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Pada majlis itu turut diadakan acara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan tiga Persatuan Pengendali Umrah iaitu Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji (PAPUH), Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA MALAYSIA) serta Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA).
MoU ini bertujuan menggalakkan pemakaian batik kepada jemaah umrah Malaysia dalam usaha merakyatkan pemakaian batik Malaysia dan mempromosikan kraf tekstil batik ke luar negara.
MOTAC dan Kraftangan Malaysia menyeru agar rakyat Malaysia terus menyokong dan membeli produk keluaran tempatan bagi membantu industri kraf kekal berdaya saing. – MalaysiaGazette















