Calon Pakatan Harapan (PH) P.161 Pulai, Suhaizan Kayat bersama isterinya, Dr Norsham Idris semasa membuang kertas undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.161 Pulai di Sekolah Kebangsaan Seri Melati, Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 05 SEPTEMBER 2023.

JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat selesai mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai di Sekolah di Kebangsaan (SK) Seri Melati, Taman Melati, Tampoi, di sini, jam 9.03 pagi.

Beliau yang ditemani isteri, Dr Norsham Idris tiba di pusat mengundi tersebut pada jam 8.50 pagi.

Suhaizan dalam sidang akhbar selepas mengundi, meminta pengundi keluar mengundi awal terutama pada sebelah pagi kerana keadaan cuaca yang baik.

“Alhamdulillah semua berjalan lancar, semua saluran berjalan lancar dan kita lihat trafik juga agak baik dibantu oleh pihak polis.

“Saya kira tiada sebab atau halangan untuk semua keluar mengundi,” katanya yang ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.

Ditanya peratusan keluar mengundi hari ini, Suhaizan berkata, ia mampu mencecah 72 peratus

“Kita doa capai 70 peratus ke atas dalam keadaan cuaca redup begini lebih baik semua turun mengundi. Pasal belah petang diramal hujan. Elok pagi ini keluar mengundi, redup saja, seelok-eloknya semua turun (mengundi belah pagi),” katanya. – MalaysiaGazette