KUALA LUMPUR – Kira-kira 1,500 individu terpaksa berputih mata selepas ditipu sebuah syarikat pelaburan yang didakwa berjaya mengaut keuntungan mencecah RM60 juta.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, setakat ini pihaknya sudah menerima 80 aduan daripada mangsa-mangsa.
Katanya, syarikat terbabit yang hanya bermodalkan ‘air liur’ menjerat mangsa-mangsa dengan tawaran pelaburan skim sublet membabitkan hartanah dan turut didakwa terbabit dengan pelbagai projek pembangunan serta pertanian di seluruh negara menerusi kerjasama syarikat tersohor.
“Syarikat berkenaan menjanjikan pulangan tetap RM540 dalam tempoh 45 hari bagi setiap pelaburan yang ditawarkan pada kadar RM3,600 bagi satu lot pelaburan.
“Saya sendiri pergi berjumpa dengan bekas pengarah syarikat berkenaan, saya minta pada dia tunjuk bukti mengatakan mereka ada perjanjian kerjasama dengan syarikat terbabit.

“Dia kata tak ada…macam ini saya pun boleh kata KLCC itu saya punya tetapi kena tunjuk bukti takkan cakap kosong sahaja,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Hadir sama pada sidang media itu, bekas ketua polis negara dan Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hasan serta beberapa wakil daripada badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
Tambah beliau, tindakan syarikat pelaburan berkenaan yang menjanjikan pulangan dalam jumlah dan tempoh yang singkat dan secara tetap telah menimbulkan keraguan.
“Senang dia buat (perkiraan) macam itu sedangkan perlu tolak semua, boleh tahu berapa dividen. Syarikat ini sebaliknya tak perlu tutup akaun dah boleh bayar dividen.
“Syarikat ini mengaku sedang bekerja sama dengan syarikat pemaju tersohor, kononnya di Langkawi mereka orang kedua paling banyak bangunkan hartanah di sana.
“Syarikat ini juga mengaku kononnya bangunkan resort di Langkawi dan terlibat projek pertanian nangka manis dan (durian) musang king, dia memang juara, semua projek dia buat,” ujarnya.
Katanya lagi, semua 80 mangsa yang tampil membuat aduan kepada MHO sudah membuat laporan polis bagi memberikan tekanan kepada pihak syarikat berkenaan.
Sementara itu, Musa meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan kerana percaya berlaku perbuatan jenayah termasuk pecah amanah dan penipuan.
Tegasnya, agensi berkaitan antaranya Suruhanjaya Syarikat perlu menyiasat syarikat pelaburan berkenaan yang didakwa sudah menipu ribuan individu seluruh negara.
“Saya minta mangsa-mangsa kalau ada apa sahaja dokumen daripada syarikat terbabit untuk simpan supaya boleh dijadikan bahan bukti, kalau boleh buat salinan.
“Saya minta mangsa jangan putus asa, berdasarkan maklum balas yang diberikan pegawai penyiasat kita tahu siasatan masih dijalankan untuk mendapatkan keadilan,” katanya. – MalaysiaGazette
















