Tuminah (kanan) melihat kesan tumpahan minyak di Pengkalan Nelayan Tanjung Kling, Melaka hari ini.

MELAKA – Kira-kira 40 nelayan dan awak-awak di Pengkalan Nelayan Tanjung Kling, di sini, tidak dapat turun ke laut sekali gus kehilangan pendapatan susulan tumpahan minyak diesel kapal kargo petang semalam.

Nelayan, Samsuri Harun, 61, mendakwa, tidak cukup dengan itu, mereka juga mungkin kerugian ribuan ringgit apabila pukat hanyut digunakan dicemari minyak menyebabkan ia mudah reput dan tidak boleh digunakan lagi.

Menurutnya, kejadian kira-kira 6.30 petang semalam itu adalah yang ketiga berlaku dan terburuk sejak tiga tahun lalu sehingga kehilangan satu-satunya punca pendapatan mereka.

Samsuri Harun

 

“Nak cakap pasal rugi, memang boleh cecah hampir RM4,000 bagi setiap jaring pukat hanyut kami itu kerana bila terkena sahaja diesel, selain reput, ikan pun takkan ‘lekat’ pada jaring kerana bau diesel yang kuat.

“Itu belum dikira lagi dengan pencemaran terhadap ekosistem laut akibat perbuatan syarikat servis kapal kargo membuang minyak di laut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Kling Khairulazni Baharuddin berkata, nelayan kecewa kerana isu sama terus berlaku walaupun sudah mengadakan perbincangan dengan syarikat terbabit sebelum ini.

Khairulazni Baharuddin

“Kita juga dah ingatkan mereka supaya mengambil langkah pencegahan sebelum membuat kerja-kerja pembaikan kapal seperti memasang perangkap minyak.

“Bayangkan kalau tumpahan yang lebih besar, ia akan menjejaskan pendapatan keseluruhan 240 nelayan dan awak-awak bermula Pantai Kundor hinggalah ke Lereh,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, kejadian itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam dan wakil syarikat terlibat.

Tuminah Kadi

“Petang semalam saya sudah turun padang melihat sendiri kesan pencemaran dan beri tempoh sehingga hari ini untuk syarikat terbabit melakukan pembersihan sambil dipantau pihak JAS.

“Agensi alam sekitar itu juga pastinya akan mengambil tindakan tegas kerana kejadian ini terus berulang walaupun sudah dikenakan tindakan sebelum ini,” tambahnya.

Beliau turut memberi amaran kepada semua syarikat kapal kargo yang berlabuh di perairan Tanjung Kling supaya tidak melakukan sebarang pencemaran yang boleh merosakan hidupan marin di perairan negeri ini. – MalaysiaGazette.