Calon Pakatan Harapan (PH) P.161 Pulai, Suhaizan Kayat bersama isterinya, Dr Norsham Idris meraikan kemenangan selepas pengumuman keputusan rasmi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.161 Pulai di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Johor Bahru. Foto MUHD NA’IM, 09 SEPTEMBER 2023.

JOHOR BAHRU – Kemenangan Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram bukan faktor “undi simpati”.

Sebaliknya calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat berkata, kemenangan itu membuktikan kerjasama  berkata, erat PH bersama parti sekutunya Barisan Nasional (BN).

“Kalau dibandingkan dengan majoriti yang lepas memang lah kecil, tetapi PRK ini peratusan keluar undi yang kecil, sekitar 47 peratus berbanding yang lepas. Jadi saya rasa ini satu majoriti yang meyakinkan.

“Saya kira begini yang kita terangkan kepada pengundi adalah kepentingan Kerajaan Perpaduan itu. Kenapa rakyat perlu mengundi dan memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan untuk kestabilan, dan dengan kestabilan itu akan mewujudkan keadaan dalam negara yanh lebih baik.. ekonomi yang baik dan pelabur-pelabur akan datang ke negara kita.

“Saya kira bukan simpati tetapi lebih kepada keperluan untuk kestabilan negara,” katanya kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

Suhaizan yang juga bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor memperoleh 48,283 undi bagi menewaskan Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 29,642 undi  manakala calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi memperoleh 528 undi. – MalaysiaGazette