Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berucap pada Persidangan Parti DAP 2023 di Hotel Putrajaya Marriott, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 10 SEPTEMBER 2023.

PUTRAJAYA – Pakatan Harapan (PH) tidak akan terikut-ikut dengan permainan kotor politik Perikatan Nasional (PN) yang memainkan sentimen kaum dan ekstremisme lebih-lebih lagi pada musim pilihan raya.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng berkata, rakyat diingatkan tidak mudah percaya kepada ‘serigala politik’ yang bertopengkan negarawan berprinsip atau orang muda yang mendokong politik lama.

“Mereka ini sebenarnya penuh dengan hasad dengki, semata-mata nak balas dendam. Kita perlu mendedahkan politik fitnah, adu domba, kebencian, momokan dan ugutan yang memecah belahkan rakyat tanpa manfaat kepada sesiapa pun.

“Ingat, rakyat sokong Kerajaan Perpaduan kerana mahu kerajaan berbilang bangsa berkhidmat dan jaga semua tanpa kira kaum dan agama,” katanya berucap pada Persidangan Kebangsaan DAP 2023 di sini hari ini.

Guan Eng mengingatkan semua pihak tidak melampaui batas dalam berpolitik kerana rakyat mahu kestabilan politik dan memberi tumpuan kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Cukup-cukuplah berpolitik, sekarang lihatlah siapa yang membolehkan rakyat hidup lebih senang. Rakyat sokong Kerajaan Perpaduan yang cekap uruskan ekonomi dan kos sara hidup.

“Takkan rakyat nak jadi mundur macam negeri-negeri yang ditadbirkan mereka sampai air bersih pun tiada,” katanya.

Rakyat juga diingatkan agar tidak mudah lupa dengan prestasi Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini gagal membelanjakan peruntukan RM530 bilion dengan baik.

“Kerajaan PN belanjakan RM530 bilion tetapi rakyat kena kibarkan bendera putih,” kata bekas Menteri Kewangan itu.

Sebaliknya dalam tempoh sembilan bulan, Kerajaan Perpaduan telah berjaya mengawal kadar inflasi ke tahap rendah dua peratus pada Julai lalu dan juga pertumbuhan ekonomi yang mampan.

“Bagi mengurangkan kos pinjaman, Bank Negara mempertimbangkan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) pada masa kelak memandangkan inflasi kini terkawal.

“Kini ada National Industry Master Plan untuk menarik pelaburan sebanyak RM95 bilion agar gaji median bulanan boleh berganda sebanyak RM4,150 pada 2030,” katanya lagi. – MalaysiaGazette