KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram semalam membuktikan rakyat Johor matang dalam politik.
Mereka membuat keputusan bijaksana memilih calon berwibawa dan bekerja untuk mereka.
Pengerusi Barisan Nasional itu berkata, ia juga menunjukkan bahawa rakyat Johor tidak mudah terpedaya dengan politik fitnah dan tohmahan selain yakin dengan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mampu membawa kestabilan negara.
“Tapi saya ingin mengatakan bahawa rakyat khususnya pengundi di Johor memang matang dan boleh menilai parti mana dan gabungan mana mampu bawa kestabilan politik melalui pemilihan wakil rakyat dan tidak mudah termakan dengan fitnah lawan, sebagaimana yang berlaku di tiga negeri lain semasa Pilihan Raya Negeri di utara dan timur 12 Ogos lalu.
“Walaupun kita sedikit risau di Simpang Jeram, penganalisis politik mengatakan kononnya peluang untuk calon kerajaan Perpaduan adalah neck to neck atau peluang 50-50 begitu juga di Pulai mereka katakan calon kerajaan akan menang tetapi terlalu tipis.
“Tapi bukti kemenangan di kedua-dua kawasan itu menunjukkan majoriti lebih tinggi dari PR DUN itu ketika Allahyarham Salahuddin jadi ADUN di Simpang Jeram ini bukti keabsahan dilakukan calon daripada Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan ke-15 Parti Makkal Sakti di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Turut hadir ialah Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R. Thanenthiran.
Tambah Ahmad Zahid, walaupun kemenangan di Parlimen Pulai oleh calon PH Suhaizan Kayat dengan majoriti berbeza daripada PRU lalu namun ia meningkat lebih 18,000 undi sekaligus membuktikan pengundi Pulai tetap mahukan wakil dari Kerajaan Perpaduan sebagai pemimpin mereka.
Keputusan PRK di Johor semalam menyaksikan PH mengekalkan status quo di kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram selepas calon yang dipertaruhkan oleh parti itu menang di kedua-dua kerusi berkenaan dengan majoriti selesa.
Calon PH mewakili kerajaan Perpaduan iaitu Suhaizan dan Nazri Abdul Rahman, kedua-duanya daripada Amanah menewaskan lawan mereka dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperolehi 48,283 undi dengan 18,641 majoriti dan 13,844 undi dengan 3,514 majoriti.
Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menegaskan kemenangan berkenaan juga satu bukti Kerajaan Perpaduan diterima oleh rakyat.
“Malah kemenangan ini juga merupakan referendum bahawa Kerajaan Perpaduan diterima dan mendapat keabsahan oleh rakyat.
“Kemenangan di Pulai dengan lebih 18,000 majoriti, kemenangan di Simpang Jeram lebih daripada kemenangan yang lalu lebih 3,000 kalau seteru politik kita mengatakan ini adalah referendum untuk Kerajaan Perpaduan maka sememangnya ini adalah referendum jelas endorskan kestabilan Kerajaan Perpaduan kita.
“Lagi pun, kita juga merasakan bahawa apa yang disebut oleh PM selaku pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan ini menterjemahkan kestabilan peringkat nasional di Pulai semalam satu isyarat cukup jelas kepada seteru kita bahawa cukuplah memainkan terus isu fitnah dengan pelbagai muslihat dan musibat berulang kali,” tegasnya.
Diminta mengulas menjelang PRK di DUN Pelangai, Ahmad Zahid memaklumkan calon daripada BN harus dipilih semula bagi memberikan kesinambungan perkhidmatan kepada rakyat dan para pengundi selain sedang meneliti nama-nama bakal calon bersama Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Buat masa ini saya menerima senarai yang mengandungi enam nama dan saya sedang meneliti bersama Pengerusi BN Pahang. Kita akan senarai pendekkan (calon) dalam waktu yang terdekat,” ujarnya. – MalaysiaGazette