Mayat lelaki yang ditemui dalam keadaan badannya dipenuhi kecederaan di dalam lori di Danau Kota hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditemui mati di dalam lori  dengan beberapa kecederaan seluruh anggota badan muutnya yang berdarah di Danau Kota hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, lebih kurang 1.48 pagi hari ini pihaknya  menerima satu laporan daripada seorang wanita warga tempatan mengenai kejadian itu.

Katanya, wanita berusia 56 tahun itu yang merupakan adik kandung si mati memaklumkan  abangnya berusia 59 tahun telah meninggal dunia di dalam sebuah lori diparkir di Danau Kota, Setapak, Wangsa Maju.

“Pemeriksaan oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah mengesahkan mangsa meninggal dunia. Mayat mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ashari, hasil pemeriksaan mendapati mangsa telah mengalami kecederaan di bahagian telinga, bengkak di kepala dan pipi, luka di mata, lebam di bahu dan tulang dada serta kesan darah dari dalam mulut.

Bertindak atas aduan adik mangsa dan juga maklumat yang diperoleh, sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) IPD Wangsa Maju hari ini telah berjaya membuat tangkapan ke atas dua lelaki warga tempatan yang disyaki melakukan jenayah yang sedang disiasat itu.

“Kedua-dua suspek itu berusia di antara 36 tahun hingga 37 tahun dan dicekup di lokasi kejadian itu. Polis sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati.

“Punca kejadian masih dalam siasatan polis dan permohonan reman ke atas kedua-dua suspek akan dipohon untuk membantu siasatan lanjut kes ini,” ujarnya.

Beliau turut memberi amaran keras agar orang ramai supaya tidak terlibat membuat spekulasi dan menimbulkan provokasi berkait kejadian yang sama.

Tegasnya, pihaknya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian berkenaan diminta untuk tampil membantu siasatan dan juga boleh menyalurkannya ke IPD Wangsa Maju di talian 03-928 99222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-211 59999 atau mana-mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette