INSTITUT Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) adalah sebuah institut latihan awam di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim. INSTUN memberi fokus kepada melatih kakitangan yang terlibat dalam urusan pentadbiran tanah, ukur dan pemetaan dan teknologi maklumat yang berkaitan di Malaysia. INSTUN menyediakan kaedah pengajaran dan pembelajaran terkini sesuai dengan kehendak situasi semasa melalui pelaksanaan kursus, seminar, bengkel dan kursus dalam talian yang berimpak tinggi.

Ia bertujuan memberi kemudahan kepada penjawat awam mengikuti kursus pada bila-bila masa di mana sahaja di samping menumpukan kepada bidang penyelidikan, penerbitan, fasilitasi dan konsultasi. Sehingga kini, INSTUN telah bergerak cemerlang dalam menyediakan pelbagai program pembelajaran berkualiti tinggi dalam bidang pentadbiran tanah, ukur dan pemetaan. Selain itu, INSTUN juga dilengkapi infrastruktur teknologi maklumat yang terkini dalam menjalankan latihan berkaitan.

Terkini, INSTUN akan memiliki sebuah balai cerap sains angkasa yang pertama bukan sahaja di kalangan institut latihan awam, malah di negeri Perak. Balai cerap yang serba moden ini turut dilengkapi dengan model jam matahari. Uniknya, ia merupakan yang pertama seumpamanya dibina dalam kompleks pusat cerapan di negara ini. Sudah pasti, INSTUN bakal menjadi tumpuan para pengamal ilmu falak Islam dan sains astronomi sekitar Nusantara. Justeru, fungsi INSTUN perlu diperkasakan lagi agar kekal releven dan berdaya saing dengan cabaran semasa.

Umumnya, pengurusan tanah mencakupi pelbagai aspek termasuk, pemberimilikan, pembangunan, kutipan hasil, pemuliharaan, dan pemantauan tanah untuk kegunaan masa kini dan masa depan. Sebagai tambahan, penyelidikandan penerbitan bahan bacaan ilmiah dan berkualiti juga perlu diberikan keutamaan. Selaras dengan tema Hari Tanah Negara 2023 tahun ini yang bertemakan “Pentadbiran Tanah Pemacu Kemakmuran Malaysia Madani”, latihan tanah yang holistik bagi melahirkan lebih ramai pentadbir tanah yang kompeten perlu diperkasakan lagi. Bagi memastikan kelestarian pentadbiran tanah negara, berikut adalah antara usaha-usaha yang boleh dilaksanakan dalam memperkasakan fungsi INSTUN.

Memperkasakan peranan INSTUN sebagai agensi tunggal latihan bidang pengurusan tanah: INSTUN juga perlu menyokong usaha penyediaan latihan dan pendidikan dalam bidang pengurusan tanah. Menyediakan kursus-kursus yang berkaitan dengan tanah dan ukur tanah akan membantu meningkatkan kecekapan para profesional di bidang ini. Selain itu, melibatkan masyarakat tempatan dalam inisiatif ini juga dapat memperkuatkan hubungan dan mendapatk dan sokongan untuk usaha pemuliharaan tanah dan alam sekitar. Pengembangan ilmu pengetahuan dan teknologi tanah melalui penyelidikan yang berterusan juga harus diberi tumpuan. Hasil penyelidikan yang berkualiti harus diterbitkan dan dikongsi dengan masyarakat dan pihak berkuasa untuk meningkatkan kefahaman tentang pengurusan tanah yang berkesan.

Pembangunan Bersepadu dan Mapan: Kelestarian pentadbiran tanah mencakupi aspek pembangunan bersepadu dan mapan. Ini bermaksud pembangunan yang mengambil kira kesan jangka panjang ke atas alam sekitar, masyarakat, dan ekonomi. Melibatkan semua pihak berkepentingan seperti sektor swasta, masyarakat sivil, dan kerajaan adalah penting untuk mencapai matlamat pembangunan mapan.

Teknologi Baharu dan Inovasi: Teknologi baharu dan inovasi berperanan penting dalam meningkatkan efisiensi dan keberkesanan pentadbiran tanah. Ia mampu meningkatkan keupayaan untuk mengumpul dan menganalisis data tanah dengan lebih cekap. Seterusnya membolehkan keputusan dibuat dengan lebih tepat. INSTUN berupaya menjadi pusat rujukan utama pengajaran teknologi terkini dalam pengurusan tanah.

Meningkatkan Kesedaran Pengurusan Tanah: Sejak kebelakangan ini, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan tanah semakin meningkat. Peningkatan ini dipacu oleh masalah-masalah yang mengakibatkan ketidakseimbangan pembangunan, pemanasan global, dan kehilangan habitat. INSTUN berperanan sebagai pemangkin utama dalam meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat dan pihak berkuasa tentang perlunya mengurus dan menggunakan tanah secara bijaksana. Melalui fungsi sedia ada, INSTUN boleh menjadi medium untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan kelestarian tanah terhadap kualiti hidup dan masa depan negara.

Rumusannya, kelestarian pentadbiran tanah negara memerlukan usaha menyeluruh dalam meningkatkan kesedaran masyarakat dan pihak berkuasa tentang kepentingan pengurusan tanah yang bijaksana. INSTUN berperanan penting sebagai pemangkin utama dalam memastikan kesedaran ini. Melalui latihan, pendidikan, penerbitan dan penyelidikan, INSTUN memainkan peranan penting dalam membentuk profesional berkualiti di bidang pengurusan tanah. Teknologi baharu dan inovasi harus digunakan untuk meningkatkan efisiensi dan keberkesanan dalam pengurusan tanah. Peranan INSTUN sebagai peneraju latihan tanah, ukur dan pemetaan dalam pentadbiran awam tidak dapat dinafikan. Latihan yang berkesan bukan sahaja akan memastikan pengurusan tanah yang cekap,malah, berpotensi mengelakkan kerugian di masa depan kepada kerajaan.

 

Sr Dr. Irwan Mohammad Ali
Koordinator Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni,
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak &

Khairin Nazry Bin Karim
Pengarah
Institut Tanah Dan Ukur Negara (INSTUN)