Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari bercakap kepada media mengenai himpunan aman Selamatkan Malaysia EDC Hotel, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Meskipun tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, namun Perikatan Nasional (PN) kekal yakin kepercayaan kepada gabungan berkenaan semakin meningkat.

Menurut Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari, sepatutnya perkara tersebut berlaku kepada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan selepas bergabung, namun ujarnya sebaliknya yang terjadi. 

Menurut beliau, secara keseluruhan PN telah berjaya meningkatkan undi Melayu pada PRK kali ini.

“Sepatutnya bila PH, BN bergabung mereka sudah ada stok 90,000 undi tetapi dengan penurunan yang begitu ketara PN berjaya menambahkan undi.

“Kalau berdasarkan data kita boleh kata 75 peratus pengundi Melayu telah menolak PH, BN di Johor. Kalau unjuran ini berterusan saya yakin dalam PRU akan datang Johor boleh ditawan oleh PN,” katanya ketika sidang media di sebuah hotel di ibu negara.

Sehubungan itu Ahmad Fadhli menyifatkan perkembangan tersebut sebagai signifikan dan mencerahkan lagi peluang PN menakluk, Johor pada pilihan raya yang akan datang.

“Ia pasti signal penting dalam kestabilan politik tanah air.

“Walaupun demikian kita ucapkan tahniah kepada PH, BN kerana mereka telah berjaya. Kalau mereka rasa boleh berpuas hati dengan keputusan ini boleh teruskan tetapi kami tidak akan berhenti untuk menyedarkan rakyat untuk mencampakkan mereka keluar daripada tampuk pemerintahan,” ujarnya.

Semalam, PH berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, dalam keadaan peratusan keluar mengundi agak rendah hari ini.

Calon PH di Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat memperoleh 48,283 undi, berbanding Zulkifli Jaafar (PN) yang mencatat 29,642 undi.

Manakala calon bebas, Samsudin Mohamad Fauzi pula meraih 528 undi.

Suhaizan meraih kemenangan dengan majoriti 18,641 dengan peratusan keluar mengundi sebanyak  47.37 peratus.

Manakala bagi DUN Simpang Jeram,  Nazri Abdul Rahman menang dengan majoriti 3,514 undi.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.